Wednesday, 2 April 2014

Memali: Moga Namamu Disambut Penghuni Langit Nan Tinggi


Ibnu Hasyim

Memali: Moga Namamu Disambut Penghuni Langit Nan Tinggi

by AZAMIN AMIN
 E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.
 
Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa. Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada.

Asakan gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa.

Keributan dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca.

Tidak lama kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.

Shafie, seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga.

Dia berhenti lalu melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu, dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi.

Kemudian, di ruang tingkat atas rumah yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan.

Tersalah atur, Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata. Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di seluruh badan.

Ketika sekujur tubuhnya berada di laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir laju, disirami gerimis pagi itu.

Abdul Rahim Waboh yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil menyelamatkan diri.

Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan keselamatan di batas sawah.

Azmi dengan hanya berbekalkan buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu menyerah diri serta-merta.

Manakala Mat Ramli yang pada mulanya cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri.

Kemudian anak Azmi dikenali Mohd Zahir, 13 yang menyusup dengan guni basah bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia dihumban ke dalam trak.

Di celah semak dan timbunan kayu, seorang anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah dan adiknya diseret ke penjuru jalan.

Kemudian dia melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran rumah Ibrahim.

Masing-masing menjamah nasi goreng, sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak sia-sia...insya-Allah syahid hendaknya."

Kata-kata mereka berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui Tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah menumpah.

Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi.

Babak sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan rempuhan demi rempuhan terus berlaku.

Ibrahim yang ketika itu berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.

Ibrahim makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah, pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini, selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.

Serangan seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim, Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata.

Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.

Beliau kembali menemui Tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan makhluk di bawahnya.

Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.

Gelimpangan jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.

Dua hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu, daripada bilik simpanan beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.

Dengan van buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang, yang jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat masuk dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan.

Dan 13 syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.

Tanah kubur Pasir Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri. Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari.

Maka lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa, lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka.

Kata pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru ajaran sesat bernama Ibrahim Libya.

Hasil daripada kecelaruan, kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100 disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping.

Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita sepi.

Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di syurga.

Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.

Di kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.

Dia sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu lantas bersuara.

"Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai banyaknya.

Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti. Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di suatu pagi yang bening.

Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali.

Beliau ialah Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun diizin Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu.

"Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini. Setelah cedera, saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam penjara selama lima bulan.”

Kemudian, sambil tersenyum memandang saya, sambil berkata tenang, “Saya tidak menyesal apa yang berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan ini," katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh tembakan peluru.

Itu kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang, untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini.

Kami kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan.

Beliau agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seorang yang cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.

Boleh bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam.

Akibat itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas, penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari.

Melihatkan kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.

Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. As-syahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya. As-syahid kembali ke tanahair awal tahun 1970-an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa as-syahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.

Dan selepas itu, sejarah hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah.

Setelah menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali sebagai Tarmizi.

Beliau sempat bercerita tentang serban milik Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai yang datang melawat melihat kejadian aneh itu.

"Pergilah balik ke rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah... serban tu," katanya kepada kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik serban itu.

Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam.

Keesokan paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.

Ketika itu balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke fikiran tatkala saya memandangnya.

Pagi nan hening itu, kami menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.

Ya, tidak lama lagi, kawasan sekitar medan tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan umat manusia. Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada perjuangan Islam. (HD)

Lihat satu lagi kisah sejarah Baling yang tidak dapat dilupakan..
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.
E-Buku IH-85: Pembunuhan Ke Atas Melayu/Islam Di Memali.


Wednesday, 19 March 2014

Pencarian MH370 Mungkin Berakhir.. Petunjuk Baru Ditemui


Addin

Pencarian MH370 Mungkin Berakhir.. Petunjuk Baru Ditemui


Perdana Menteri Australia berkata tentera udara negara itu sedang menyiasat tentang kemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang itu ditemui di laut. Ini berikutan penemuan imej satelit, lapor Reuters India dalam Twitternya.

Perdana Menteri Australia berkata, "Mengikut analisis pakar oleh imej satelit itu, dua objek yang berkemungkinan berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines dapat dikenal pasti." tulis Reuters dalam tweet tersebut.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dalam kenyataan di Parlimen memberitahu tentang dua objek yang ditemui itu dan berkata, "Maklumat baru dan boleh dipercayai ditemui dalam usaha mencari di Lautan Hindi."

"Jabatan Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menerima maklumat imej setelit yang kemungkinan berkaitan dengan apa yang dicari."

Abbott berkata, pasukan pencari dan penyelamat hampir tiba ke kawasan objek tersebut dikesan menjelang beliau berucap di Parlimen. Tiga buah lagi pesawat juga dalam perjalanan ke sana, katanya.

Abbott mengatakan dia bercakap dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Najib Razak sambil memberitahu objek itu masih belum disahkan lagi.

"Usaha untuk menemui objek ini bukannya senang dan mungkin juga ia tidak berkaitan dengan MH370 yang sedang dicari," katanya.

AMSA akan mengadakan sidang media di Canberra pada 0430 GMT.

Pihak berkuasa Malaysia Isnin lepas meminta Canberra mengambil tanggungjawab mencari di "Koridor Selatan" dalam usaha mencari Boeing 777 yang hilang pada pagi 8 Mac dalam perjalanannya ke Beijing, China dengan 239 penumpang itu.

Kerajaan Malaysia percaya, pesawat itu secara sengaja ditukar hala tujunya dan terbang beberapa jam selepas keluar dari laluan asalnya – samada ke utara Asia Tengah atau ke selatan di Lautan Hindi.

Kapal terbang penyelidik jarak jauh Australia, Amerika dan New Zealand berusaha mencari di Lautan Hindi sejak Selasa dengan fokus kepada kawasan seluas 305,000 kilometer persegi, kira-kira 2,600 tenggara Perth. ~tmi

Iklan C (ii)




Hidup baru audil


Gossip HOT artis malaysia

Hidup baru audil

Letak syarat sebelum sunting Zaremah jadi isteri, mohon restu keluarga

Belajar daripada kisah lalu, Kapten Harimau Malaya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, 27, kini memulakan hidup baharu bersama isterinya, Zaremah Zainal, 28. Selamat diijab kabul dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan di Pandamaran, Klang, Jumaat lalu, pasangan ini tidak henti-henti memanjatkan doa kesyukuran atas kelancaran majlis. 


Tidak menutup kenyataan atau segan mengakui bernikah kali kedua selepas bergelar duda, Aidil dengan rendah hati berterima kasih kepada Zaremah kerana menerima dirinya. Terbit perasaan sayu apabila kedua-dua pasangan ini mengalirkan air mata kesyukuran, ditambah lagi ucapan menyentuh hati abang keempat Zaremah, Datuk Zulhisham pada majlis itu

Saya minta maaf

LARI dari set penggambaran? Cerita ini bagaikan tiada penghujungnya. Bukan sekali kita mendengar isu ini kalangan artis baru, malah sudah banyak kali ia dilaporkan.
Kisah terbaharu yang didengar adalah mengenai Fasha Sandha yang dikatakan telah meninggalkan lokasi penggambaran telemovie Baju Raya Yaya arahan Shuhaimi Lua. Rasa-rasanya ramai yang sudah maklum akan disiplin kerja aktres ini. Kalau orang kata pukul 8.30 pagi kena ada di set. Dia mesti akan datang tepat pada waktunya.
Kali ini, Fasha dilaporkan meninggalkan set selepas tiga hari berturut-turut terpaksa menunggu berjam-jam ketibaan pelakon baharu bernama Amyra Rosli yang datang lewat.
Untuk mengetahui situasi sebenar, wartawan Hits, GARRET DAWUM dapatkan penjelasan daripada Amyra Rosli sendiri berhubung perkara itu.
Hits: Amyra yang menyebabkan Fasha tinggalkan set penggambaran, betul ke?
Amyra: Pertama sekali saya ingin meminta maaf. Saya sudah dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan serta ulasan mengenai isu ini.Sedikit sahaja yang boleh saya katakan, isu ini sebenarnya adalah hal dalam produksi. Punca kejadian juga bukan berasal daripada saya.
Bukan berpunca daripada Amyra walaupun sudah terang lagi kenyataan yang dikeluarkan mengatakan bahawa Amyra datang lewat sehingga tiga jam. Apakah Amyra cuba menuding jari dan menyalahkan orang lain?
Saya tidak cuba untuk menyalahkan sesiapa kerana perkara ini sudah diselesaikan secara baik melibatkan semua pihak. Kami juga sudah saling bermaaf-maafan.
Perkara ini sudah diselesaikan, maksudnya?
Sepanjang setahun lebih saya dalam industri, tidak pernah sekali pun timbulnya isu lambat atau disiplin melibatkan saya. Mungkin kali ini, saya kurang bernasib baik. Dari mana datangnya cerita itu. Mereka perlu selidik dulu apa yang berlaku. Jangan terus menghentam.
Paling saya takut adalah perasaan ibu saya. Dia pasti sedih kalau timbulnya perkara ini. Dia (ibu) yang menguruskan jadual saya. Mesti akan ada orang cakap dia tidak boleh menguruskan saya.
Tetapi kenyataan yang dikeluarkan mengatakan bukan sehari Amyra lewat tetapi sudah beberapa hari. Maknanya anda memang pelakon bermasalah?
Hal ini sangat kecil dan saya sendiri tidak mahu mempebesar-besarkan isu ini. Semua sudah selesai. Itu sahaja.
Kenapa Amyra tidak mengikut cara Fasha yang memang berdisiplin?
Sekali lagi, saya tidak datang lewat. Tetapi semuanya salah faham sahaja dan saya tidak mahu lagi mengeruhkan lagi keadaan.
Saya mahu bertahan lama dalam industri ini. Saya ikhlas dalam bidang ini. Sebagai orang baru memang saya hormati Fasha sebagai pelakon yang lebih senior.
Sebelum ini, Fasha pernah mempersoalkan masalah disiplin yang turut dihadapi Dazrin Kamaruddin iaitu tunang Amyra. Adakah ini balas dendam untuk awak berdua?
Semua yang berlaku adalah kebetulan. Tiada istilah balas dendam atau apa-apa sahaja. Saya sendiri tidak berani cakap tentang semu itu. Memang kisah Dazrin sebelum ini sudah saya ambil sebagai pengajaran terutama jika saya ingin berjaya sebagai pelakon.
Apakah perkembangan terkini Amyra?
Saya sekarang akan menjalani penggambaran Oh My English dan saya sudah jadikan ia sebagai fokus untuk saya buat masa sekarang.
Persiapan kahwin macam mana pula?
(Ketawa). Persiapan itu kami belum ada lagi perancangan. Kami masih memilih tarikh yang sesuai. Lagipun, kami menghormati masa masing-masing yang masih sibuk. Ibu bapa juga tidak pernah memaksa untuk kami cepatkan majlis




Gambar emak Zarina Zainuddin kemalangan teruk di Simpang Pulai


CERITA KOSONGKU

Gambar emak Zarina Zainuddin kemalangan teruk di Simpang Pulai


Gambar emak Zarina Zainuddin kemalangan teruk - Emak kepada pelakon terkenal Zarina Zainuddin terlibat dalam satu kemalangan ngeri hujung minggu lalu apabila dua buah kereta yang dinaiki mereka terbabas di kawasan berhampiran Simpang Pulai.

Menerusi akaun Instagram, Zarina telah berkongsi beberapa keping gambar keadaan emaknya telantar di Hospital Ipoh serta sekeping lagi gambar di sekitar lokasi kemalangan itu berlaku. Jelas, kemalangan melibatkan emak Zarina teruk dan menakutkan.

Zarina turut menyertakan caption pada salah satu gambar tersebut yang meminta pengikut dan peminatnya berdoa bagi kesembuhan emaknya.

"Doakan mak saya selamat mlm tadi kemalangan dlm perjalanan pulang kereta berpusing 360 darjah ..doakan mak saya selamat, amin. Terima kasih atas doamu teman2."

Menurut info terbaru yang diterima portal mediahiburan, keadaan emak Zarina dilaporkan beransur pulih dan sudah boleh berjalan dengan menggunakan tongkat.

Penulis ucapkan takziah kepada Zarina dan keluarga, semoga emak Zarina segera pulih dan dapat menjalani kehidupan hari seperti sediakala.







Gossip HOT artis malaysia

Apabila Ustaz berteater

PENGLIBATAN tokoh agama dalam bidang seni, bukanlah perkara asing lagi. Selain ada yang tampil dengan album sendiri, ada juga yang tidak keberatan untuk menjayakan drama dan filem tempatan.

Sebagai contoh, Ustaz Azhar Idrus (UAI) pernah membintangi filem arahan Pierre Andre yang berjudul, Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.

Masih mengekalkan karakternya, ternyata kemunculan UIA berjaya menarik ramai golongan muda-mudi untuk menontonnya.

Malah penampilan julung kalinya, Juara Imam Muda Musim Pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan,30, dalam pementasan teater 'Projek Kahwin' di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan, dijangka memberikan satu kelainan pada naskah teater tersebut.

Teater terbitan Mask Team Production ini turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Apa yang membuatkan ustaz menerima tawaran ini?

Kerjaya saya sebagai penceramah sangat terbatas untuk melakukan perkara lain termasuk lakonan. Lagipun sebab utama saya memilih karya Mask Team kerana ingin belajar selok-belok teater.

Saya tidak pernah menjejakkan kaki di Istana Budaya untuk melihat pementasan atau konsert. Saya ingin merasai sendiri bagaimana produksi teater bekerja dan mengenali peminat teater dengan lebih dekat.

Mungkin ia satu peluang baik untuk saya menimba pengalaman sekali dalam seumur hidup.

Lagipun dalam persembahan ini, saya memegang watak sendiri iaitu sebagai Ustaz Asyraf yang menyampaikan info mengenai perkahwinan mengikut syarak Islam. Malah penerbit sendiri bertegas mahu ahli agama sendiri kerana mereka lebih arif dalam perkara ini.

Boleh terangkan sedikit watak ustaz dalam teater ini?

Seperti yang saya jelaskan tadi, saya akan membawa watak sendiri dan memberikan pandangan mengenai 'perkahwinan sebenar' menurut Islam.

Dalam teater ini saya perlu menjayakan lima babak. Tiga daripadanya memerlukan saya mengendalikan kursus kahwin yang melibatkan Izzue Islam dan beberapa pelakon lain.

Ia turut menyaksikan kami berbual secara santai. Saya juga ada berbincang dengan penulis skrip supaya dapat menyampaikan dialog mengikut cara tersendiri.

Selepas teater ini, adakah ustaz akan menerima tawaran lakonan drama atau filem?

Sebelum ini saya pernah muncul sebagai 'cameo' dalam telefilem dan drama. Tapi saya tidak ada rancangan untuk berlakon secara serius.
Tak terlintas pun nak jadi pelakon. Bukannya tiada ustaz atau ustazah yang ceburi berlakon, namun dalam teater nampaknya sayalah orang pertama.

Dan penglibatan saya kali ini, mungkin kali 'pertama dan terakhir' dalam lakonan.  Lagipun bukan senang berlakon apatah lagi saya mempunyai jadual yang sangat padat setiap hari dan dakwah masih menjadi keutamaan saya.

Julung kali terlibat di pentas teater, boleh kongsi perasaan ustaz?

Walaupun saya sudah biasa bercakap dalam ceramah atau program bual bicara sebelum ini. Namun dua perkara ini sangat berbeza kerana kita perlu mengikut skrip dan jalan cerita yang disediakan. Perasaan takut memang ada, Insya-ALLAH... saya akan cuba lakukan yang terbaik.
Bagaimana pula dengan persediaan dan persiapan ustaz untuk pementasan ini?

Tiada sebarang asas dalam lakonan, membuatkan saya bimbang jika tersalah cakap atau tersasul di atas pentas nanti.

Tetapi saya bersyukur kerana pihak produksi menyediakan kelas khas untuk saya pelajari lenggok bahasa teater. Saya akan mengikuti kelas lakonan dan bacaan skrip terlebih dahulu bersama pengarahnya sebelum sesi latihan bermula.

Apa pendapat ustaz mengenai hiburan seperti ini?  

Secara peribadi, saya tidak menolak bahawa dengan melibatkan unsur Islamik mungkin ia akan menarik golongan tertentu ke panggung.

Lagipun teater kini berjaya menarik tumpuan generasi muda untuk menonton persembahan di Istana Budaya.

Secara tidak langsung ia juga sebagai medium untuk saya berdakwah.

Tidak mahu pelakon mengambil tugas sebagai watak ustaz, penerbit mahu orang yang berpengalaman dan mahir dengan agama untuk bercakap mengenai Islam. Sekali gus ia fakta-fakta mengenai hal-hal perkahwinan tidak disampaikan dengan salah. Tidak dinafikan, ia juga boleh dilihat sebagai berdakwah menerusi lakonan.

Jika sebelum ini, Ustaz Azhar Idrus pernah menerima kritikan hebat kerana melibatkan diri dalam lakonan, bagaimana pula dengan ustaz?  

Ya, saya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang pandangan atau komen-komen negatif masyarakat.

Dari awal lagi saya tahu bahawa akan ada 'cakap-cakap belakang' mengenai penglibatan saya dalam pementasan ini. Namun saya tidak kisah kerana ada individu yang tidak melakukan apa-apa, pun dikritik.

Jadi setiap perkara yang kita lakukan, mesti bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal.

Pada saya, tidak salah untuk berlakon sekiranya ia memberi manfaat berguna kepada penonton yang hadir.

Seperti mana Ustaz Azhar Idrus (Ustaz Mu Tunggu Aku Datang) berlakon menyebabkan namanya terpalit dengan persepsi kurang baik. Begitu juga saya, perasaan bimbang dan takut tetap ada namun saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.

Akhir sekali, mungkin ustaz boleh memberi pencerahan terhadap segelintir pihak yang menganggap hiburan itu menjurus kemaksiatan ?

Saya tidak bersetuju sama sekali dengan pandangan itu. Ketika zaman kegemilangan Islam, Kerajaan Andalus dan Abbasiyah dahulu cukup terkenal dengan seni budaya dengan tarian pedangnya.

Ia merupakan cara mereka untuk berhibur dan mengikut syariat Islam.

Tetapi, zaman sekarang masyarakat nampak perkara itu berbeza. Nampak tarian sahaja, semuanya tidak boleh atau haram.

Saya tidak tujukan kepada semua tetapi ia melibatkan sesetengah masyarakat yang memandang serong pada kesenian. Untuk pengetahuan, ada perkara yang boleh diterima pakai dan ada yang tidak. Sedangkan stesen TV Islamik tidak dapat diterima pada mulanya, kini menerima maklum balas positif, begitu juga Istana Budaya.
BIODATA
NAMA : Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
PANGGILAN : Ustaz Asyraf
ASAL : Pulau Pinang
TARIKH LAHIR : 12 Februari 1984
ISTERI : Nurhusna Yusof
ANAK : Muhammad Aisy Raihan
PENDIDIKAN : Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang (2003-2006); Ijazah Sarjana Muda Syariah Pengkhususan Fiqh dan Usul di Universiti Malaya, serta Sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama.
KERJAYA : Penceramah, penyanyi & pelakon.
ALBUM : Imam Muda Asyraf "Rahmatan Lil’Alamin"
TEATER : Projek Kahwin (Jun)

TRIVIA
* Juara pertama program pencarian imam di kalangan generasi muda iaitu Imam Muda.
* Menerima pendidikan Islamik beberapa buah sekolah termasuk di SRK Sri Aman Kg Melayu Pulau Pinang (1991-1996); Maahad al-Mashoor al-Islami di Sg Batu Teluk Kumbar Pulau Pinang (1997-1999); Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat di Pasir Mas, Kelantan (2000-2001) dan Maahad Tarbiyyah Islamiyyah di Beseri, Perlis (2001-2002).
* Sebelum ini pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Desa Petaling Kuala Lumpur.
* Dinobatkan sebagai Juara Imam Muda Astro Oasis 2010 iaitu program pertama di dunia ini disiarkan secara langsung dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur mengalahkan Hizbur Rahman Omar Zuhdi.
*Rancangan ini mendapat liputan hangat bukan sahaja pihak media tempatan malah di seluruh dunia.
*Kisah kejayaannya pernah dipaparkan di CNN, BBC, Reuters, Al-Jazeera, Taiwan Post dan ramai lagi dari media luar negara seperti dari Jerman, Singapura, Brunei, Jepun dan banyak lagi.
*Penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang.
*Berpengalaman memberi ucapan, ceramah, tazkirah dan forum di seluruh Malaysia termasuk Brunei.



Akhirnya.. Pakar Temui Punca MH370 Gagal Dikesan Sehingga Kini


Addin

Akhirnya.. Pakar Temui Punca MH370 Gagal Dikesan Sehingga Kini

Penerbangan Malaysia gagal menaik taraf komputer yang mudah dan berharga hanya RM33 bagi setiap penerbangan, yang akan menyediakan maklumat penting untuk membantu mencari penerbangan MH370 yang hilang, kerana ia membuat pilihan yang lebih murah apabila membeli pesawat, The Sydney Morning Herald melaporkan.

Seorang pegawai industri satelit dipetik sebagai berkata bahawa menaik taraf sistem yang dipanggil Swift, akan menyediakan arah, kelajuan dan ketinggian pesawat MH370 walaupun selepas komunikasi lain daripada pesawat hilang daripada radar.

Jika sistem Swift dinaik taraf, termasuk pakej penuh aplikasi, ia boleh menghantar maklumat mengenai prestasi enjin, penggunaan bahan api, kelajuan, ketinggian dan arah, tidak kira sama ada transponder dan Sistem Menangani Komunikasi dan Pelaporan (ACARS) berfungsi, katanya.

Pakar yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan memberitahu harian Australia yang sistem Swift adalah sama seperti cara bagaimana telefon pintar menghantar data satelit, manakala ACARS adalah serupa dengan aplikasi untuk telefon bimbit. ~tmi


Iklan C (ii)




"Kami Bukan Hilang Baju Atau Jam, Kami Mungkin Hilang Nyawa," Pak Selamat Kecewa Dengan MAS


Addin

"Kami Bukan Hilang Baju Atau Jam, Kami Mungkin Hilang Nyawa," Pak Selamat Kecewa Dengan MAS

Keluarga penumpang MH370 yang ditempatkan di Hotel Everly sejak kehilangan pesawat tersebut dibenarkan tinggal di hotel itu sehingga Jumaat ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang sukarelawan dari Malaysia Airlines (MAS) kepada pihak media di hotel berkenaan Rabu.

Sukarelawan itu berkata, bilik-bilik di Hotel Everly telah ditempah hanya sehingga Jumaat.

“Selepas itu, Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang akan mengambil alih pembiayaan waris penumpang dan akan menentukan sekiranya mereka akan terus tinggal di hotel itu atau tidak.

“Kebanyakan daripada waris penumpang MH370 telah pun meninggalkan hotel ini dan balik ke rumah masing-masing,” kata sukarelawan tersebut.

Sementara itu Selamat Omar, ayah kepada Mohd Khairul Amri yang merupakan salah seorang penumpang di dalam pesawat itu, berkata mereka diberitahu tentang pengambil alihan itu pada Selasa.

“Ya, memang kami diberitahu kami akan tinggal di sini sehingga Jumaat dan selepas itu, Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat keputusan jika kami masih boleh tinggal di sini,” katanya mengiyakan perkara itu.

Selamat melabelkan tindakan MAS memberi tugas pembiayaan kepada Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

“Semalam MAS berkata Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan ambil alih pembiayaan dan penjagaan waris di Hotel Everly. Namun, tiada sebab diberikan.

“Bilik operasi MAS yang ada di hotel ini pun sudah tiada sejak hari ini. Saya rasa MAS tidak peka kepada keadaan waris.

“Kami bukannya hilang baju atau jam. Kami kemungkinan hilang nyawa. MAS perlu bertanggungjawab di saat-saat genting ini. Saya sungguh kecewa MAS serahkan beban tugas kepada pihak lain,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Selamat yang merupakan seorang peneroka Felda, tiada sehari pun beliau berputus asa bahawa anaknya akan kembali ke pangkuannya.

“Saya yakin kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari pesawat itu. Saya berharap ia akan dijumpai.

“Begitu juga dengan keluarga saya. Walaupun isteri saya dan isteri anak saya menangis sejak mendapat tahu tentang kehilangan pesawat itu, mereka semakin tabah,” katanya.

Walaubagaimanapun, MAS, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam berkata, penumpang dan krew di dalam pesawat MH370 serta keluarga mereka sentiasa dipentingkan.

“Selama ini, keluarga penumpang MH370 sentiasa diberi taklimat pertama tentang apa-apa perkembangan pesawat yang hilang itu.

“Namun, maklumat yang sering bercanggah dan spekulasi telah membawa keperitan dan kesusahan yang besar kepada keluarga penumpang.

“Keutamaan kami adalah memberikan segala bantuan kepada keluarga para penumpang dan anak kapal,” kata MAS.

Pesawat B777-200 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan hilang daripada radar tidak sampai sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi, 8 Mac lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sejak hari kejadian, keluarga penumpang pesawat ditempatkan di dua buah hotel iaitu Hotel Everly, Putrajaya dan Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya bagi memudahkan Malaysia Airlines (MAS) memaklumkan perkembangan terkini mengenai pesawat berkenaan.

Kira-kira 30 anggota keluarga penumpang dari China ditempatkan di hotel Cyberview Resort & Spa manakala lebih 100 anggota keluarga di Hotel Everly. ~awani



Iklan C (ii)




Gambar emak Zarina Zainuddin kemalangan teruk di Simpang Pulai


CERITA KOSONGKU

Gambar emak Zarina Zainuddin kemalangan teruk di Simpang Pulai


Gambar emak Zarina Zainuddin kemalangan teruk - Emak kepada pelakon terkenal Zarina Zainuddin terlibat dalam satu kemalangan ngeri hujung minggu lalu apabila dua buah kereta yang dinaiki mereka terbabas di kawasan berhampiran Simpang Pulai.

Menerusi akaun Instagram, Zarina telah berkongsi beberapa keping gambar keadaan emaknya telantar di Hospital Ipoh serta sekeping lagi gambar di sekitar lokasi kemalangan itu berlaku. Jelas, kemalangan melibatkan emak Zarina teruk dan menakutkan.

Zarina turut menyertakan caption pada salah satu gambar tersebut yang meminta pengikut dan peminatnya berdoa bagi kesembuhan emaknya.

"Doakan mak saya selamat mlm tadi kemalangan dlm perjalanan pulang kereta berpusing 360 darjah ..doakan mak saya selamat, amin. Terima kasih atas doamu teman2."

Menurut info terbaru yang diterima portal mediahiburan, keadaan emak Zarina dilaporkan beransur pulih dan sudah boleh berjalan dengan menggunakan tongkat.

Penulis ucapkan takziah kepada Zarina dan keluarga, semoga emak Zarina segera pulih dan dapat menjalani kehidupan hari seperti sediakala.